CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS

Saturday, October 3, 2009

Tekanan Menghadapi Peperiksaan

Peperiksaan merupakan satu kemestian kepada para pelajar. Kejayaan di dalam peperiksaan membuktikan kesungguhan dan keperihatinan pelajar terhadap pelajaran yang dipelajari, juga kepekaan terhadap tanggunggjawab sebagai seorang pelajar.

Ia juga merupakan medan ujian untuk menentukan kelayakan dan kebolehan seorang pelajar memehami apa yang dipelajari, sekaligus sebagai saringan untuk menentukan pangkat yang sepatutnya diperolehi oleh pelajar. Keistimewaan yang banyak menunggu pelajar yang mendapat keputusan peperiksaaan yang baik tetapi sebaliknya kepada yang gagal.

Perlumbaan untuk mendapatkan keputusan yang baik merupakan satu lumrah dan amat baik jika bermula dalam suasana yang sihat. Bermula dari sinilah, wujudnya tekanan di dalam diri pelajar untuk mendapat keputusan yang baik. Namun, tekanan ini jika tidak dikawal akan menyebabkan seseorang itu tidak dapat mengawal perasaannya.

Dorongan perasaaan untuk mencapai kejayaan diperlukan untuk membangkitkan semangat berusaha untuk mencapai kejayaan tetapi tekanan yang berlebihan samada luaran atau dalaman boleh menyebabkan seorang pelajar gagal mengimbangi dirinya seterusnya melakukan tindakan yang kadang-kadang di luar batasan.

Tekanan di dalam diri seorang pelajar datang dari pelbagai sudut kehidupan, di antaranya tekanan daripada kedua orang tuanya untuk melihat kejayaan anaknya. Bayangkanlah jika setiap surat yang ditulis oleh ibubapa kepada para pelajar dipenuhi dengan harapan dan pesanan agar mendapat kejayaan yang cemerlang di dalam peperiksaan. Harapan yang tinggi daripada kedua orang tua di tanah air menyebabkan tekanan yang tinggi, apatah lagi jika pelajar itu kurang bersedia untuk menghadapi peperiksaaan.

Tekanan seperti ini akan lebih cepat wujud di kalangan pelajar yang datang daripada keluarga yang berpendapatan rendah. Harapan serta pesanan orang tua jika dianggap sebagai pendorong untuk mendapat kejayaan merupakan satu pemikiran yang positif tetapi jika ia dianggap sebagai tekanan yang berlebihan akan menyebabkan pelajar cepat tertekan sehinggga wujudnya kesan keserabutan di dalam pemikirannya dan boleh menyebabkan tindakan yang luarbiasa dilakukan olehnya. Tidak hairanlah adanya kejadian bunuh diri dikalangan pelajar, terutamanya di Jepun dan negara Barat kerana tidak dapat mengawal perasaan.

Tekanan juga berlaku kerana kesilapan dan kelalaian para pelajar sendiri yang tidak membuat persediaan lebih awal untuk menghadapi peperiksaan. Masa yang panjang digunakan untuk aktiviti-aktiviti yang mengakibatkan pengabaian buku-buku pelajaran dan kuliah. Apabila menjelang peperiksaan, akibat persediaan yang kurang tekanan mula wujud dan timbullah pelbgai perbuatan susulan.

Tekanan seperti ini akan menyebabkan pelajar cepat bosan, murung dan terlalu merendah diri sehingga menyebabkan jiwanya terganggu. Ia juga menyebabkan putus asa untuk belajar wujud. Natijahnya, pelajar tersebut tidak mengambil peperiksaan atau mengambilnya dengan sambil lewa kerana menganggap perjuangannya di medan peperiksaan sudah berakhir.

Menghadapi peperiksaan atau persaingan memerlukan kekuatan spiritual dan mental yang jitu untuk menghadapi tekanan yang mungkin datang bila-bila masa sahaja. Kekuatan mental ini lahir dari sikap dan pemikiran yang optimis serta stabil untuk mencapai matlamat yang diinginkan. Tidak peliklah sekiranya pakar psikologi diperlukan bagi memantapkan persiapan mental selain persiapan fizikal di dalam setiap pertandingan atau persaingan sukan.

Begitu juga pelajar yang akan menghadapi perjuangan yang bakal menentukan nasibnya di masa hadapan, kekukuhan spiritual dan mental menghadapi tekanan akan menjadikannya bersedia menghadapi pelbagai kemungkinan yang berlaku.

Spiritual dan mental yang lemah pula akan menyebabkan pelajar mudah mengaku kalah sebelum berjuang. Oleh itu, para pelajar perlu menjauhkan diri daripada anasir-anasir yang boleh melemahkan spiritual dan mentalnya untuk menghadapi peperiksaan, disamping mencari formula mengukuhkan kedua-duanya.

Persekitaran tempat belajar juga merupakan penyumbang kepada tekanan kepada pelajar. Bayangkanlah anda berada di dalam lingkungan jiran yang tidak mempedulikan orang lain ataupun kawan-kawan serumah yang tidak mampu bekerjasama dengan anda, padahal dalam waktu yang sama anda ingin mencapai kejayaan di dalam peperiksaan. Tidakkah anda berasa tertekan dengan suasana sedemikian?.

Tentunya tekanan menyelubungi diri anda dan akibatnya anda akan melakukan tindakan diluar kebiasaan anda. Anda mungkin akan mengamuk, cepat marah, menangis, pindah ke rumah teman lain atau anda ingin bersama dengan kawan-kawan anda yang masih leka dengan peperiksaan.

Ini belum lagi melihat kepada faktor sekeliling yang lain seperti tempat belajar, pengangkutan ke tempat belajar, masyarakat setempat yang tidak bertanggungjawab dan lain-lain lagi. Suasana seperti ini sebenarnya menjadi sumber tekanan di dalam jiwa pelajar.

Tekanan memang tidak boleh dielakkan di dalam kehidupan. Terpulanglah kepada pelajar untuk menghindari dan menghadapinya, asalkan tindakannya tidak lari daripada landasan syariat Islam. Letakkan segala pengharapan dan keputusan kepada Allah s.w.t. Sebagai pelajar yang beriman, kepercayaan yang kukuh terhadap ketetapan Allah s.w.t selepas berusaha, berdoa dan bertawakkal merupakan jalan yang terbaik untuk menghadapi tekanan.

Perbanyakkan berzikir, membaca al-Quran dan merenung keindahan ciptaan Tuhan sebagai salah satu cara mencari ketenangan ketika tekanan mencengkam jiwa, apatah lagi apabila menempuh saat-saat akhir menghadapi peperiksaan. Berfikirlah dengan fikiran yang positif terhadap sesuatu perkara dan wujudkanlah di dalam jiwa sikap optimis.

Tekanan haruslah dihilangkan dengan baik tanpa melakukan perkara-perkara yang di luar batasan. Berfikirlah positif bahawa Allah s.w.t akan menolong apabila persiapan yang rapi kita lakukan. Namun, sekiranya persediaan yang rapi dilakukan tetapi kita masih lagi tidak mampu untuk mendapat keputusan yang baik, redhalah dengan apa yang berlaku kerana mungkin ada kesilapan yang tidak disedari telah berlaku.

Sesuai dengan status kita sebagai pelajar Muslim, letakkanlah segala-galanya kepada Allah s.w.t dengan syarat kita telah menyempurnakan segala tuntutan yang telah dikehendaki untuk mencapai kejayaan.Persediaan awal merupakan senjata yang paling ampuh untuk menghadapi peperiksaan dan tekanan. Kelalaian yang berlaku di awal musim pengajian boleh menjadi batu penghalang kepada kejayaan di dalam peperiksaan. Masa yang berlalu tidak akan berulang kembali.

Persediaan awal juga membantu meningkatkan motivasi untuk menghadapi peperiksaan, tidak merasa tertekan yang keterlaluan dan juga menjadi penyumbang kepada kejayaan di dalam peperiksaan. Kebanyakan pelajar tertekan kerana persediaan untuk menghadapi peperiksaan terlalu sedikit lantaran masa yang berlalu terbuang begitu sahaja tanpa diisi dengan sebaiknya.

Pengurusan masa amat perlu untuk mempersiapkan diri agar kejayaan yang diimpikan menjadi kenyataan. Jadual waktu selalunya memng dibuat oleh pelajar. Malangnya, kebanyakan pelajar tidak mampu untuk memetuhi jadual yang dibuat tetapi menurut kehendak hatinya sendiri.

Ini merupakan kesilapan yang paling ketara. Ikutilah jadual yang anda susun untuk mengelakkan kelam-kabut apabila peperiksaan sudah hampir, juga untuk mengelakkan tekanan yang sememangnya akan wujud apabila peperiksaan muncul.

Lakukanlah aktiviti yang boleh merehat pemikiran dan memberi ketenangan jiwa apabila berlaku tekanan, tetapi pastikan ia tidak bertentangan dengan status anda sebagai pelajar muslim. Jangan biarkan diri anda dilanda pelbagai masalah yang boleh mengganggu konsentrasi untuk menghadapi peperiksaan.

Yakinlah dengan diri sendiri bahawa anda boleh berjaya di dalam peperiksaan dan buatlah persediaan yang secukupnya, disamping tawakkal kepada Allah s.w.t .Semoga kejayaan yang diimpikan berada di tangan anda.

http://www.ismamesir.com/v1/index.php?option=com_content&view=article&id=83:tekanan-menghadapi-peperiksaan&catid=52:tazkirah&Itemid=111

0 comments: